Memperkukuh ekosistem bimbingan haji, umrah di NBD




Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 Jun. - Menjelang Wawasan Brunei 2035, peranan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) perlu terus diperkasa. Wawasan Brunei 2035 menghendaki lahirnya rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi, berjaya, mempunyai kualiti kehidupan yang baik serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang dinamik dan berdaya tahan.


Dalam kerangka itu, KUPU SB mempunyai peranan yang sangat penting kerana KUPU SB bukan sahaja perlu melahirkan guru ugama, tetapi juga tenaga profesional keagamaan yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat. Ia adalah peluasan yang munasabah daripada amanah KUPU SB sebagai institusi perguruan ugama yang perlu responsif kepada keperluan semasa masyarakat dan negara.


Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan berucap sedemikian pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU) yang berlangsung di Dewan Ta'lim, KUPU SB, di sini.


Terdahulu, Yang Berhormat menjelaskan majlis ini adalah salah satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem bimbingan haji dan umrah di Negara Brunei Darussalam (NBD). Ia juga mencerminkan kesungguhan KUPU SB dalam melahirkan pembimbing ibadah yang berilmu, berkemahiran, beradab, berintegriti dan berwibawa.


Ibadah haji dan umrah, tegas Yang Berhormat, bukan hanya perjalanan fizikal menuju Tanah Suci namun ia adalah perjalanan imam, perjalanan ilmu, perjalanan pengorbanan dan perjalanan penyucian diri. Oleh itu, tambah Yang Berhormat lagi, jemaah yang menunaikan haji dan umrah memerlukan bimbingan yang sahih, tertib, mudah difahami dan berpaksikan hukum syarak.


“Program SP-PHU ini amat bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Konvokesyen Ke-14 KUPU SB pada 21 November 2024.


“Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu, mengandungi beberapa isyarat penting kepada KUPU SB. Antaranya, KUPU SB hendaklah terus berperanan melahirkan guru-guru ugama yang terlatih, sebagai tonggak pembentukan akhlak dan pembekal ilmu kepada anak bangsa; Program-program KUPU SB hendaklah sentiasa dinilai dan diperbaharui supaya kekal relevan dengan keperluan negara, khususnya dalam bidang pendidikan Islam dan khidmat keagamaan; KUPU SB hendaklah menghasilkan graduan dan tenaga profesional yang bukan sahaja berilmu, tetapi mampu menyumbang kepada masyarakat dan bersaing dalam keperluan semasa; KUPU SB hendaklah menjadi pelopor dalam memperkasa pendidikan ugama dan peneraju kepada dasar pendidikan patuh syarak dan KUPU SB juga diberi ruang untuk memantau, menilai dan memberi pandangan terhadap amalan atau strategi pendidikan yang memerlukan pembaikan dari sudut hukum dan kemasyarakatan, melalui saluran institusi yang teratur," jelas Yang Berhormat.


Menurut Yang Berhormat, ini adalah mandat yang besar, maka, KUPU SB tidak boleh hanya dilihat sebagai institusi yang melahirkan graduan semata-mata namun hendaklah menjadi institusi ilmu yang hidup, berfungsi dan menyumbang langsung kepada keperluan negara.


Dalam konteks ini, terang Yang Berhormat, program ini adalah satu terjemahan praktikal kepada titah tersebut dan ia memperluaskan peranan KUPU SB daripada pendidikan formal kepada latihan profesional dan bimbingan masyarakat.


Kongsi Yang Berhormat lagi, Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah itu adalah contoh yang baik dan ia menunjukkan bahawa ilmu ugama bukan hanya diajar, tetapi diterjemahkan menjadi khidmat. Ia bukan hanya dibaca dalam kitab, tetapi dipandu dalam perjalanan ibadah.


Yang Berhormat mengambil maklum bahawa program ini telah dilaksanakan selama 14 minggu dan ini menunjukkan bahawa program ini bukan sekadar kursus jangka pendek biasa, tetapi satu latihan profesional yang menekankan disiplin ilmu, ketekalan, kesungguhan dan kualiti.


Yang Berhormat seterusnya menekankan pembimbing haji dan umrah hendaklah dimartabatkan sebagai bidang kepakaran profesional. Pembimbing bukan hanya pengiring atau penyampai maklumat namun ia merupakan rujukan ibadah, pendamping jemaah, penasihat amali dan contoh akhlak. Maka, latihan, penilaian dan pengiktirafan yang tersusun hendaklah terus diperkukuh.


Seterusnya Yang Berhormat menambah, bimbingan haji dan umrah di negara ini perlu mempunyai piawaian yang jelas dan tersusun. Piawaian itu hendaklah meliputi ilmu manasik, fiqh Mazhab Syafii sebagai pegangan rasmi negara, pendedahan terkawal kepada pandangan mazhab muktabar, etika pembimbing, komunikasi, pengurusan jemaah, kesihatan asas, keselamatan dan keperluan semasa.


Terang Yang Berhormat lagi, Kerjasama antara institusi hendaklah terus diperkukuh. Pengurusan haji dan umrah bukan urusan satu pihak sahaja. la melibatkan Jabatan Urusan Haji, Jabatan Mufti Kerajaan, Majlis Ugama Islam Brunei, KUPU SB, Pusat Promosi Kesihatan, agensi operator haji dan umrah serta pinak-pihak berkepentingan yang lain. Setiap pihak mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan jemaah menerima bimbingan dan perkhidmatan yang terbaik.


Yang Berhormat seterusnya menyatakan pembimbing haji dan umrah hendaklah dipersiapkan dengan realiti semasa pengurusan haji moden. Kongsinya, pengalaman menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji dan Simposium Haji Perdana di Jeddah (dan terakhir pada 20 Mei 2026 yang lalu) memberi isyarat bahawa pengurusan haji masa kini semakin tersusun, bersepadu dan berasaskan ilmu, teknologi serta perancangan awal.


Realiti ini menuntut pembimbing memahami bukan sahaja hukum dan manasik, tetapi juga disiplin jemaah, keselamatan, kesihatan, pengurusan risiko, penggunaan teknologi, peraturan rasmi serta kepentingan mematuhi arahan pihak berkuasa haji.


Program ini jelas Yang Berhormat hendaklah menjadi permulaan kepada pembangunan profesional berterusan. Sijil yang diterima pada hari ini bukan pengakhiran tugas, tetapi permulaan amanah. Selepas ini, pembimbing hendaklah terus meningkatkan ilmu, mengikuti latihan penyegaran, memperbaiki kemahiran dan menilai pengalaman sebenar di lapangan.


“Dalam memperkukuh program ini, kita juga wajar mengambil iktibar daripada amalan baik di rantau ini. Oleh itu, peramba / saya melihat Program SP-PHU ini sebagai satu permulaan yang baik bagi NBD.


“Ia hendaklah terus diperkukuh sehingga mampu menjadi asas kepada pembentukan piawaian nasional pembimbing haji dan umrah, dengan mengambil kira pegangan Mazhab Syafii, keputusan pihak berkuasa ugama, keperluan operasi haji, kesihatan dan keselamatan jemaah, perkembangan teknologi serta perubahan semasa pengurusan haji dan umrah," ujar Yang Berhormat.


Dalam masa yang sama, tambah Yang Berhormat, usaha ini hendaklah dibuat secara teratur melalui penyelarasan dengan pihak-pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan. Apa-apa bentuk pengiktirafan atau piawaian rasmi, hendaklah disusun dengan jelas supaya kedudukan pembimbing, operator dan pihak berkuasa tidak bercampur aduk, bahkan saling melengkapi, jelas Yang Berhormat.


Close